TPM Somalia ziarah keluarga Allahyarham Noramfaizul



Timbalan Perdana Menteri Somalia, Mohamed Omar Arte, menziarah keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurugambar Bernama TV yang maut terkena peluru sesat di Somalia, pada 2 September 2011.

Mohamed yang ditemani tiga ahli keluarga termasuk isterinya tiba di rumah ibu bapa Noramfaizul di Taman Serdang Raya jam 2.10 petang hari ini disambut Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Suasana di rumah jurugambar Bernama TV itu bertukar sedih apabila bapa Allahyarham, Mohd Nor Md Yasin, 72, dan ibu Noramfaizul, Naemah Abdul Majid, 68, mengucapkan terima kasih kepada Mohamed kerana bertanya khabar.

"Terima kasih ingat kami selepas enam tahun," kata Naemah yang kelihatan sebak dengan kunjungan Mohamed dan keluarganya di sini.

Yang turut hadir, Duta Somalia ke Malaysia, Abukar Abdi Osman dan Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary.

Mohamed berkata, beliau berbesar hati dapat bertemu dengan ibu bapa Noramfaizul yang menabur bakti di Somalia.

"Minta maaf dengan apa yang berlaku namun itu ketentuan Ilahi," kata Mohamed yang kemudiannya menyertai Abdul Azeez majlis tahlil ringkas untuk Allahyarham.

Noramfaizul antara 67 sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan KP1M di Somalia pada Ogos-September 2011 bagi membantu mangsa kebuluran dan perang.

Noramfaizul, 40, meninggalkan isteri Norazrina Jaafar dan dua anak lelaki, Mohd Irfan dan Mohd Naufal, masing-masing kini berumur 15 dan 9 tahun.

Allahyarham yang pernah membuat liputan di Gaza (Palestin) dan Pakistan adalah wartawan Malaysia pertama meninggal dunia di zon konflik selepas terkena peluru sesat dilepaskan tentera pengaman AU ketika berada di Somalia pada 2011.

Mohamed turut mengambil kesempatan menziarahi kubur Allahyarham diiringi keluarga dan Presiden KP1M.





Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Post a Comment